PlotPlot ialah sesuatu yang menghubungkan peristiwa-peristiwa dalam sesebuah cerita. Setiap peristiwa dari awal hingga akhir berdasarkan hukum sebab dan akibat.
Plot mengemukakan perkara yang terjadi dan sebab perkara itu terjadi. Setiap perkara berhubungan berdasarkan faktor-faktor sebab dan akibat.
Susunan cerita bergantung pada fantasi dan kreativiti pengarang. Plot dirangka dengan teliti dan tidak semestinya berurutan peristiwanya dari awal hingga akhir atau kronologi. Plot ialah penyusunan kronologi yang diubah suai mengikut kemahuan pengarang.
Teknik penyusunan plot yang menarik ialah penyusunan peristiwa secara tidak kronologi. Pengarang haruslah cekap, kreatif, dan bijaksana menyusunnya sehingga mencapai peleraian.
Permulaan plot ialah peringkat permulaan (eksposisi), iaitu untuk memperkenalkan watak-watak, latar, dan suasana.
Perkembangan plot mengakibatkan konflik.
Peristiwa berkembang kepada peringkat pertengahan cerita, iaitu perumitan (komplikasi).
Perumitan menuju kepada puncak (klimaks) apabila tercapainya konsentrasi yang maksimum.
Kemudian urutan cerita menuju kepada peleraian. Kadang-kadang puncak dijadikan pengakhiran cerita bagi sesetengah cereka.
Teknik PlotTeknik plot ialah cara pengarang mengembangkan plot ceritanya supaya menarik.
Antara teknik plot termasuklah seperti yang berikut:
(a)
Imbas kembaliImbas kembali merupakan suatu teknik pengarang mengenang semula peristiwa yang pernah dialaminya.
Peristiwa itu boleh diimbas kembali melalui pemerian pengarang atau khayalan, dialog, monolog, atau monolog dalaman
(b)
Imbas mukaImbas muka merupakan cara pengarang memberikan bayangan awal atau ramalan tentang sesuatu peristiwa yang akan berlaku kesan daripada aksi-aksi watak dalam cerita berkenaan.
Imbas muka dapat mewujudkan keyakinan dalam kalangan pembaca terhadap sesuatu yang akan berlaku.
(c)
SaspensSaspens atau ketegangan ialah peristiwa dalam cerita yang menimbulkan keadaan tertanya-tanya atau perasaan ingin tahu di kalangan pembaca tentang peristiwa yang akan berlaku selanjutnya.
(d)
KonflikKonflik merupakan pertentangan antara dua pihak atau dua kekuatan dalam satu urutan plot.
Konflik boleh berlaku secara dalaman, iaitu konflik dalam diri watak dan secara luaran, iaitu antara watak dengan watak yang lain atau antara watak dengan alam sekitar.
Konflik dapat juga digambarkan melalui pertentangan pendapat, idea, sikap, atau pemikiran?
(e)
KejutanKejutan ialah perubahan dalam urutan peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba tanpa diduga oleh pembaca.
Lazimnya, kesan yang timbul daripada kejutan tidak sama dengan yang diduga oleh pembaca.
(f)
DialogDialog merupakan pertuturan antara dua watak atau lebih daripada dua watak.
Melalui dialog antara watak-watak inilah biasanya tergambar pendapat atau fikiran yang berkaitan dengan tema.