<body>
♥♥ Isnin, 28 Julai 2008♥♥

Pembeli Masa Sudah
T. Alias Taib
Tema: Pengalaman Seorang Penyair
Stanza 1:Penyair ialah pengunjung pasar kisah
Peraih pengalaman
Dan pembeli masa sudah.
Kerana aku penyair kupenuhi hidupku
Dengan kembara dan deria
Yang kian memberat di pundakku.
Kulalui lorong-lorong hari sepiku
Dari gelisah ke payah
Dari sedih ke perih.
Makna: Penyair diibaratkan sebagai seorang yang sering memerhatikan apa-apa yang berlaku di sekelilingnya. Beliau menjadikannya sumber pemikirannya. Beliau juga terpaksa memenuhi hidupnya dengan kepekaan dalam pemerhatiannya walaupun terasa ia amat membebankan. Penyair juga mencari pengalaman untuk menghilangkan rasa sepi dan untuk dibuat syair.
Persoalan: Tentang hidup seorang penyair yang menghasilkan karya dengan memerhatikan sekelilingnya di samping menimba pengalaman.
Gaya bahasa:-Aliterasi: Peraih pengalaman
-Sinkof: Ku
-Asonansi: Dengan kembara dan deria
-Gandaan: Lorong-lorong
Stanza 2:Di pasar yang dihingari kisah ini
Aku dipanggil peraih cerewet
Pemilih yang sukar membuat pilihan
Pembeli yang keliru dengan tawaran.
Kerana aku pemilih ruwet
Aku harus hati-hati;
Pilihan menonjolkan mutu
Dan mutu memantulkan peribadi.
Makna: Penyair sering dikritik (peraih cerewt, pemilih yang sukar membuat pilihan) tetapi dia percaya bahawa sikapnya itu adalah untuk kebaikan dirinya sendiri. Padanya, dia harus memilih dengan betul dan teliti kerana apa yang dipilihnya mencerminkan peribadinya dan apa yang orang fikir terhadapnya juga.
Persoalan: Tentang hidupnya yang dikritik orang walaupun tindakannya untuk kebaikan diri.
Gaya bahasa:-Gandaan: hati-hati
-Simbol: peraih cerewet
Stanza 3:Aku pembeli masalah orang
Menyusunnya menjadi kata-kata
Dan menjualnya kepada pemikir.
Aku juga kadang-kadang pembeli
Masalah dan masa sudah sendiri.
Tidak seperti ikan dan sayuran,
Masa sudahku lebih mahal
Sesudah senja dan murah
Di sebelah pagi.
Makna: Penyair juga bertugas sebagai pemerhati masalah orang lain. Dengan ini, dia menulis tentangnya dengan menghasilkan puisi untuk menolong menangani masalah itu ataupun untuk menjadi bahan tinjauan kepada pembaca. Hasil karya dianggap lebih bererti daripada hasil barangan. Saya dapat tukil bahawa frasa 'Mahal sudah senja' membawa maksud bahawa hari hampir tamat, kembara penyair juga tamat maka lebih banyak ilmu telah ditimba. Sementara itu, 'murah di sebelah pagi' pula membawa maksud hari baru bermula oleh itu kembaranya baru hendak bermula, maka ilmu atau pengalaman masih belum banyak ditimba.
Persoalan: Tentang bagaimana hasil puisinya bererti dengan masalah orang atau sendiri sebagai bahan.
Gaya bahasa:-Simbol: 'lebih mahal sesudah senja', 'murah di sebelah pagi'
-Gandaan: Kata-kata, kadang-kadang
-Simili: Masalah dan masa sudah sendiri, tidak seperti ikan dan sayuran
-Aliterasi: 'sudah sendiri', 'Sesudah senja'
-Sinkof: Ku

Label:



12:16 PTG