<body>
♥♥ Selasa, 17 Jun 2008♥♥

“Mak tidak membenarkan engkau berhenti sekolah!” tegas ibu Syariff.“Tapi mak, Syariff sudah tidak berminat hendak meneruskan persekolahan ini. Bukankah lebih baik jika Syariff mencari kerja dan membantu emak?” rayu Syariff. “Mak tidak kisah! Emak hendak kamu teruskan persekolahan kamu juga!” tegas ibu Syariff lagi tetapi kali ini dengan nada yang lebih tinggi.

Syariff bungkam. Semenjak kematian bapanya, Syariff selalu mencari kesempatan untuk berhenti sekolah. Alasannya adalah kerana dia ingin menolong emaknya. Tetapi, setiap kali dia bertanya pasti emaknya tidak membenarkannya berhenti sekolah.

Syariff tetap pergi ke sekolah seperti biasa tetapi minatnya untuk belajar sudah hilang begitu sahaja. Syariff tidak mebuat kerja sekolah dan selalu menimbulkan masalah di sekolah. Ibu Syariff sudah berkali-kali menasihatkan Syariff tetapi Syariff masih lagi tidak berubah. Ia ibarat mencurahkan air di daun keladi.

Keputusan peperiksaan pertengahan tahun telah diumumkan.Syariff gagal dalam kesemua mata pelajarannya. Ibu Syariff berasa marah apabila melihat keputusan peperiksaan Syariff. Ibu Syariff sehingga menitiskan airmata mengenangkan kedegilan Syariff. Sudahlah ibu Syariff penat bekerja untuk memberikan pelajaran yang secukupnya bagi Syariff. Bekerja sebagai pembersih di siang hari dan pekerja kilang pada malam hari.

“Syariff, ibu tidak mahu engkau terus gagal di dalam hidup kamu. Janganlah engkau menjadi seperti ibu. Tidak berpelajaran sebab itu hidup kami susah,” nasihat ibunya.

Syariff tidak mempedulikan nasihat ibunya itu. Dia masih lagi tidak serius dalam pelajarannya. Tetapi, itu semua berubah apabila ibunya disahkan menghidap barah rahim pada suatu hari. Doktor berkata bahawa peluang untuk ibunya hidup adalah amat tipis sekali kerana barahnya sudah berada di peringkat kritikal. Syariff seakan-akan tidak percaya akan apa yang didengarinya. Dia tidak mahu menerima kenyataan itu dan menganggapnya sebagai dusta semata-mata.

Namun, Syariff tetap harus menerima hakikat itu apabila ibunya hampir menghembuskan nafas yang terakhir. Ibunya sempat berpesan kepadanya supaya rajin beribadat dan rajin belajar supaya akan mendapat kehidupan yang sempurna. Syariff menyesal kerana telah menghampakan ibunya selama ini. Tetapi, menangis airmata darah juga tidak akan dapat menghidupkan orang yang telah mati kembali.

Syariff menetap di Rumah Anak-Anak Yatim setelah kematian ibunya. Dia sudah berazam untuk berusaha dan berkerja-keras untuk berjaya dalam pelajarannya. Syariff belajar dengan tekun dan mengulangkaji pelajaran pada setiap hari. Syariff dapat meneruskan pengajiannya ke Universiti empat tahun kemudian dan dia selalu teringat akan pesanan ibunya. Kini, dia sudah menjadi seorang doktor di sebuah hospital di Singapura dan namanya sudah terkenal di seluruh dunia. Dia hidup dengan bahagia bersama keluarganya yang tercinta. Tetapi, beliau berasa sedih kerana ibunya tidak dapat melihat kejayaannya itu.

Memang benarlah bahawa “Kecemerlangan dalam pelajaran dapat menjamin kehidupan dan masa depan yang lebih sempurna.” Jika Syariff tidak merubah perangainya dan berusaha dengan gigih, dalam pelajarannya pada waktu dahulu, pasti dia tidak akan berjaya sekarang.

Label:



11:39 PTG